Proses di Mahkamah Jenayah
Pengenalan
Di Mahkamah Jenayah, umumnya kehendak prosedural dan tatacara adalah berbangkit daripada pemakaian Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593). Manakala kesalahan-kesalahan pula didapati dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akta-akta lain seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694), dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta792).
Pihak-Pihak
Pihak yang memulakan tindakan dan membawa pertuduhan dikenali sebagai Pendakwaan. Pendakwaan ini diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pihak Pendakwa Raya, atau Pegawai Pendakwa (bagi kes-kes agensi tertentu). Individu yang dituduh melakukan kesalahan pula dikenali sebagai OKT (Orang Kena Tuduh – OKT).
Pertuduhan
OKT akan dibawa ke hadapan Mahkamah untuk dibacakan pertuduhan terhadapnya. Pertuduhan yang dibacakan terhadap OKT akan mengandungi butiran kesalahan yang didakwa dan juga hukuman yang akan dikenakan jika tersabit salah. Di sini, OKT diberikan pilihan untuk mengaku salah atau memohon untuk kesnya dibicarakan.
Sekiranya OKT mengaku salah, pengakuan salahnya akan direkodkan oleh Mahkamah dan selanjutnya OKT boleh memasukkan rayuan mitigasi terhadap hukuman yang akan disabitkan kepadanya. Dalam erti kata lain, OKT boleh meminta pengurangan akan hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya. Hakim akan terus memberikan hukuman setelah mendengar rayuan mitigasi daripada OKT dan Pendakwaan.
Sebaliknya, OKT yang memohon untuk kesnya dibicarakan akan diberikan tawaran jaminan (bagi kes-kes yang boleh dijamin) atau untuk memohon jaminan (bagi kes-kes yang tidak boleh dijamin). Bon jaminan ini difahamkan sebagai suatu cagaran untuk OKT datang ke Mahkamah dari hari ke sehari sehingga pelupusan kes. Kalau tiada jaminan bahawa OKT akan datang, OKT akan ditempatkan di penjara untuk memastikan beliau hadir ke Mahkamah bila kesnya dipanggil untuk didengar.
Dokumen Seksyen 51A
Bagi OKT yang tidak mengaku salah, Pendakwaan akan mendedahkan dokumen-dokumen yang menjadi asas kepada kes seperti yang dipertuduhkan. Antara dokumen-dokumen yang kebiasaannya didedahkan adalah seperti berikut:-
- Kertas Pertuduhan
- Laporan-laporan Polis
- Gambarajah
- Laporan Pakar
- Laporan Perubatan
- Laporan Kimia
- Eksibit (Bahan bukti fizikal atau dokumentari)
Berdasarkan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, pihak Pendakwaan mempunyai kewajipan statutori untuk membuat penzahiran awal dengan menyerahkan dokumen-dokumen kepada pihak OKT sebelum perbicaraan bermula bagi memastikan keadilan proses.
Kebiasaannya di sini, OKT akan menghantar satu surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminta pertuduhan dipinda kepada seksyen yang lebih rendah atau digugurkan terus. Selain itu, OKT juga boleh membuat permohonan ‘plea bargain’ sebagai persediaan untuk mengaku salah sambil mengetahui hukuman yang akan dijalankan olehnya. Keadaan-keadaan ini bergantung kepada kes-kes tersendiri.
Perbicaraan
Setelah dokumen-dokumen didedahkan, kes akan beralih ke fasa perbicaraan. Perbicaraan pula mempunyai dua peringkat iaitu peringkat Pendakwaan dan peringkat Pembelaan.
1. Kes Pendakwaan
Pendakwaan akan memanggil saksi-saksi mereka untuk memberikan keterangan bagi membuktikan kesalahan OKT. Di sini, saksi-saksi Pendakwaan akan memberikan keterangan-keterangan bagi memuaskan elemen-elemen jenayah seperti pertuduhan. Berdasarkan kes masing-masing, Pendakwaan kebiasaannya memanggil saksi-saksi seperti berikut:
- Pegawai Penyiasat
- Pegawai Kimia
- Pegawai Perubatan
- Pengadu
- Mangsa
- Saksi bebas
- Jurufoto
- Pegawai Forensik
- Pengeluar dokumen
Keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Pendakwaan ini akan dinilai oleh Mahkamah pada tahap penilaian ‘maksima’. Pendakwaan dan Peguam OKT akan berhujah diperingkat ini sama ada Pendakwaan telah membuktikan kesnya berdasarkan prinsip undang-undang.
Berpegang kepada prinsip ‘siapa tuduh, dia kena buktikan’, Mahkamah adalah untuk menilai sehingga berpuas hati akan keterangan dan bukti yang dikemukakan oleh Pendakwaan pada tahap maksima. Kalau Mahkamah tidak berpuas hati dengan kes Pendakwaan, Mahkamah akan melepaskan dan membebaskan OKT daripada pertuduhan. Dalam erti kata lain, Mahkamah secara lahiriahnya memutuskan bahawa OKT tidak bersalah. Sebaliknya kalau Mahkamah berpuas hati, Pendakwaan dikatakan telah berjaya menzahirkan kesnya. Ini dipanggil kes Prima Facie.
Prima facie ini pula membawa maksud bahawa Pendakwaan sudah berjaya membuktikan elemen-elemen asas pertuduhan jenayah. Kalau OKT berdiam diri, OKT itu dianggap memang melakukan kesalahan seperti yang dituduh.
2. Kes Pembelaan (Defense’s Case)
Dalam keadaan kes Prima Facie berjaya dibuktikan, OKT akan dipanggil untuk membela diri. OKT diberi pilihan untuk membela dirinya:
- Memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi
- Memberikan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh
- Berdiam diri
Kalau OKT berdiam diri, beliau akan didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman seperti pertuduhan.
Pilihan pertama, iaitu memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi merupakan pilihan yang tersedia kepada OKT. Dalam keadaan ini, OKT kena mengangkat sumpah dan berhak untuk memanggil saksi-saksinya untuk menyokong pembelaannya. Namun, OKT juga boleh disoal balas oleh Pendakwaan atas keterangan yang diberikannya. Pilihan ini juga membuatkan keterangan OKT dinilai dengan pemberatan pembuktian yang sewajarnya.
Sebaliknya, kenyataan tidak bersumpah ini dibuat dari kandang tertuduh tanpa perlunya OKT mengangkat sumpah. Apa yang diperkatakan oleh OKT tidak boleh dicabar oleh Pendakwaan. Tetapi, nilai bukti yang diberikan oleh OKT adalah tidak seberat keterangan bersumpah.
Akhir Perbicaraan
Setelah semua saksi Pembelaan selesai memberikan keterangan, Mahkamah akan mengarahkan pihak-pihak untuk memasukkan hujahan-hujahan masing-masing. Di peringkat ini, standard yang digunapakai oleh Mahkamah adalah melangkaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt).
Melangkaui keraguan munasabah adalah darjah tertinggi dalam standard pembuktian di Mahkamah. Ianya beroperasi dengan fahaman bahawa tiada lompang atau pun alasan yang menyebabkan hukuman yang dijatuhkan kepada OKT sebagai tidak selamat.
Hal ini kerana, dalam menjatuhkan hukuman kepada OKT yang bakal menyekat kebebasannya dan menyebabkan derita, Mahkamah akan berjaga-jaga dalam menjalankan kuasanya. Sekiranya hakim was-was kerana ada keraguan, hakim tidak akan menghukum OKT.
Penghakiman
Di akhir pelupusan kes, Mahkamah akan membuat keputusan; sama ada OKT dilepaskan dan dibebaskan atau disabitkan bersalah.
Hukuman
Sekiranya disabitkan bersalah, proses tambahan iaitu rayuan untuk meringankan hukuman (Mitigation) oleh peguambela OKT dan hujahan pemberatan hukuman (Aggravation) oleh Pendakwaan akan didengar sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman.
