Proses di Mahkamah Sivil
Pihak-Pihak
Tindakan di Mahkamah berbeza mengikut bidangkuasa. Di Mahkamah Sivil, orang yang menyaman dikenali sebagai Plaintif. Plaintif ini hendaklah memulakan tindakan dengan menyediakan dokumen-dokumen Mahkamah yang dikenali sebagai kertas kausa. Begitu juga dengan orang yang kena saman, Defendan, juga perlu menyediakan kertas kausa bagi menjawab saman.
Kertas Kausa
Kertas-kertas kausa ini merupakan dokumen yang akan digunapakai oleh Mahkamah untuk pelupusan kes yang dibawa oleh Plaintif terhadap Defendan. Maka, terdapat keperluan untuk Plaintif dan Defendan memfailkan kertas-kertas kausa ini kepada Mahkamah dan masing-masing perlu membuatkan penyerahan kertas-kertas kausa ini kepada antara satu sama lain.
Antara kertas-kertas kausa yang perlu difailkan di Mahkamah adalah seperti berikut:-
- Writ Saman/Saman Pemula
- Pernyataan Tuntutan/Afidavit Sokongan
- Pernyataan Pembelaan
- Jawapan Kepada Pembelaan
- Ikatan Dokumen Bersama
- Ikatan Pliding
- Senarai Saksi
- Ringkasan Kes
- Isu-isu untuk dibicarakan
- Fakta-fakta yang dipersetujui
- Penyata Saksi
Pematuhan Masa dan Arahan
Bagi tiap-tiap kertas kausa yang dinyatakan di atas, terdapat tempoh masa untuk pemfailannya dan juga penyerahannya kepada pihak lawan. Lazimnya, tempoh masa ini adalah dalam kitaran 14 hari ataupun 2 minggu, tertakluk kepada arahan mahkamah dan juga peraturan-peraturan lain yang menyelia.
Permohonan Interlokutori
Kebiasaannya, kertas-kertas kausa seperti yang dinyatakan di atas ini adalah untuk difailkan dalam kategori tindakan induk Lampiran 1. Sekiranya ada permohonan selingan kepada tindakan induk, maka mana-mana pihak boleh memfailkan permohonan yang bernama permohonan interlokutori dengan menyediakan kertas-kertas kausa seperti berikut:-
- Notis Permohonan
- Afidavit Sokongan/Jawapan/Balasan
- Hujahan Bertulis
- Ikatan Autoriti
- Perintah
Kebiasaannya, permohonan interlokutori yang sering dimasukkan adalah seperti berikut:-
- Pindaan (untuk meminda Pernyataan Tuntutan atau Pembelaan)
- Pembatalan (Membatalkan saman yang dimasukkan)
- Penzahiran (Mendapatkan dokumen-dokumen pihak lawan)
- Interogatori (Mendapatkan pengataan-pengataan pihak lawan)
- Injunksi interim (Memohon halangan sementara)
- Jaminan Kos (Memaksa Plaintif mendepositkan wang sebagai jaminan sekiranya beliau kalah kelak)
Perbicaraan
Selepas kertas-kertas kausa difailkan dengan lengkap dan tertib, kes akan beralih kepada proses perbicaraan yang mana pihak-pihak perlu memanggil saksi masing-masing untuk memberikan keterangan bagi menyokong kes masing-masing. Di peringkat perbicaraan, saksi memberikan keterangan dengan mengangkat sumpah dan disoal oleh para peguam dengan susunan seperti berikut:-
- Pemeriksaan utama (ditanya oleh peguam sendiri)
- Pemeriksaan balas (ditanya oleh peguam pihak lawan)
- Pemeriksaan semula (ditanya oleh peguam sendiri)
Susunan seperti ini adalah berdasarkan Akta Keterangan 1950. Tujuan saksi ditanya sedemikian adalah untuk saksi memberikan keterangan secara terbuka atau berdasarkan Penyata Saksi dan selanjutnya saksi itu dan keterangannya akan dicabar keesahan atau kebenaran oleh pihak lawan. Sekiranya saksi itu ‘tersadung’, beliau boleh menjelaskannya di peringkat pemeriksaan semula.
Keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi perlu memfokuskan kepada fakta isu dan isu-isu yang dibicarakan. Hal ini demikian kerana, keterangan-keterangan atau bukti-bukti yang dikemukakan oleh saksi hendaklah mematuhi prinsip undang-undang keterangan seperti kerelevenan dan kebolehterimaan.
Akhir Bicara
Setelah semua saksi-saksi telah memberikan keterangan, Mahkamah akan mengarahkan pihak-pihak untuk memasukkan hujahan-hujahan masing-masing. Di peringkat ini, kertas-kertas kausa yang difailkan adalah seperti berikut:-
- Nota Keterangan
- Hujahan Bertulis
- Hujahan Balasan Bertulis
- Ikatan-Ikatan Autoriti
Penghakiman
Sesudah kesemua kertas-kertas kausa ini difailkan, Mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran untuk mendengar peguam-peguam berhujah secara lisan. Selepas Mahkamah berpuas hati dengan hujahan-hujahan pihak-pihak, Mahkamah akan membuat keputusan; siapa menang, siapa kalah.
